Jumaat, 3 Mei 2013

Cerita Sedikit Bagaimana Politik Mempengaruhi Keluarga Saya.

Sebelah ayah. Lahir di tahun 1959 dan membesar di Sabah . Nenek dan atuk bukannya orang berpelajaran. Kerja dengan orang Cina, jual kuih dan bercucuk tanam. Akhirnya dapat beli tanah di kampung dan juga sekolahkan anak-anak mereka. Ayahku akhirnya berjaya mendapat tawaran ke UM di Semenanjung. Kerana tidak berkemampuan mereka meminta bantuan kerajaan (USNO) sewaktu itu. Nenek cerita untuk mendapat bantuan tersebut, mereka kena bayar beberapa ratus ringgit. Atuk nak jual tanah tapi nenek menentang kerana takut hilang tempat untuk berteduh dan mencari rezeki setelah menjual tanah. Tapi mungkin rezeki ayahku, USNO kalah dalam pilihanraya waktu itu dan PBS menang di daerahnya. Bantuan diberikan kepada ayahku tanpa syarat dan tanpa wang. Alhamdulillah dia berjaya menjadi graduan UM dan bekerja sebagai pegawai kerajaan negeri.

Sebelah ibu. Lahir dan membesar di Johor. Merupakan anak FELDA. Alhamdulillah berkat usahanya dan bantuan dari abang-abangnya, ibu berjaya ditawarkan di UM. Ibu bertemu jodoh dengan ayah di UM. Ayah menyaran ibu menjadi guru. Setelah lulus KPLI, ibu datang ke Sabah menyusul ayah. Dari tahun 1983 ke Sabah hinggalah sekarang. Dalam lebih kurang 10 tahun pertama ibu berada di Sabah, PBS memerintah Sabah. Kemudian BN pula memerintah. Apa yang ibu saya dapati sikap masyarakat Sabah yang dulunya 'anti Malaya' berkurang sejak BN memerintah.

Cerita saya pula. Belajar okay dengan didikan orang tua ku. Selalu gak dapat antara top student. Masa tingkatan 3 nak mohon asrama penuh sebab waktu di sekolah kampung. Entah kenapa tiada borang di sekolah, padahal borang sepatutnya ada di setiap sekolah. Disembunyikan kot, tak nak pelajar cemerlang lari atau bertambah cemerlang. Atau mungkin untuk golongan keluarga tertentu? Wallahualam. Nasib baik mak dengar di radio tentang MRSM. Dapat mohon ke sana dan diterima. Belajar lagi hinggalah menjadi dokter dengan bantuan biasiswa.

Sekarang dah kerja di klinik kesihatan daerah yang agak pedalaman di Sabah. Nasib baik letrik, air dan jalan raya ada. Sayangnya kalau nak melawat beberapa klinik desa dalam kawasan, jalan raya terputus-putus bahagian bertarnya. Bahagian yang paling menyedihkan bukanlah aspek fizikal daerah ini, tapi mentaliti sebahagian besar masyarakat sini. Lebih banyak mengharapkan bantuan kerajaan dari nak berusaha bekerja dan belajar. Masih ramai yang hanya menyekolahkan anak mereka sampai darjah enam atau tingkatan 3. Ada ibu yang kata untuk anak berjaya ke universiti, orang itu mesti ada tanah. Apa pemimpin tempatan mereka lakukan untuk mengubah mentaliti ini?

Ah...sungguh banyak lagi cerita kehidupan yang dapat dikaitkan dengan politik tetapi sebahagian besarnya adalah rahsia kerajaan. Tapi yang saya dapat simpulkan ialah apapun parti politik yang memerintah di Sabah ataupun Malaysia, yang akan menentukan kejayaan seseorang individu atau keluarga ialah usaha dan peluang yang ada, dicari dan terus diambil.

TETAPI, peluang yang disediakan oleh kerajaan pula haruslah telus dan terbuka kepada semua tanpa memilih orang dan latar belakang. Dasar yang dibentuk mestilah adil dan bijaksana agar keamanan yang tercapai. Fasilti yang disediakan haruslah berkualiti dan berpatutan supaya orang tidak curiga ia hasil rasuah. Kerja yang yang diamanahkan harus dilaksanakan dengan jujur oleh semua peringkat kerajaan supaya ia memberi hasil yang bagus. Barulah rakyat tahu yang mereka harus berusaha dan akan berjaya.

Saya harap pilihanraya ini, pemimpin yang terpilih nanti akan menjadikan Malaysia lebih baik. Saya sebagai pegawai kerajaan berharap dapat bekerja dengan ikhlas untuk kerajaan yang terbentuk nanti.

Mohon maaf panjang bercerita. Terima kasih kepada yang sudi baca.